Saturday, 9 April 2011

Pulau Cermin

PULAU CHERMIN terletak di Kuala Sungai Brunei yang bertentangan dengan Pulau Keingaran. Sebelah barat Pulau Cermin terletaknya Tanjong Kindana yang dipisahkan oleh satu kawasan perairan dinamakan Pasir Si Bubu. Pada 29 Ogos 2003 serombongan penyelidik dari Pusat Sejarah Brunei yang terdiri daripada Awang Haji Su’ut bin Haji Ahmad dan Awang Haji Mohd. Noor Irwan bin Haji Osmar serta Awang Mohd.Zefri Ariff bin Zain Ariff dan Awang Shahdi bin Metussin dari Universiti Brunei Darussalam telah mengadakan penyelidikan dan penggambaran di Pulau Chermin. Ketika berada di sana rombongan membuat rakaman gambar video dan pegun terhadap lokasi-lokasi tertentu di darat dan laut pulau berkenaan.

     Walaupun tidak banyak ditemui kesan-kesan sejarah di pulau berkenaan tetapi peristiwa perang saudara yang berlaku di pulau itu pada abad yang ke-17 tetap terpahat dalam sejarah Brunei. Pulau Chermin pernah didiami oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin (Sultan Brunei yang ke-13) iaitu atas cadangan Pengiran Bendahara Muhyiddin dengan alasan Bandar Brunei pada ketika itu tidak aman disebabkan kekacauan oleh orang-orang darat. Apabila Sultan Abdul Hakkul Mubin bersemayam di pulau itu, maka Pengiran Bendahara Muhyiddin pun mengisytiharkan dirinya menjadi Sultan Brunei dengan gelaran Sultan Muhyiddin. Oleh yang demikian pada ketika itu Brunei mempunyai dua orang Sultan. Sultan Muhyiddin yang mengisytiharkan diri menjadi Sultan itu semata-mata bertujuan menuntut bela di atas kematian ayahnda mertua baginda, Sultan Muhammad Ali yang dibunuh oleh Sultan Abdul Hakkul Mubin ketika menjadi Pengiran Bendahara dan seterusnya mengambil alih pemerintahan dengan menggelarkan diri baginda Sultan Abdul Hakkul Mubin. Kekacauan yang dilakukan oleh orang-orang darat semasa Sultan Abdul Hakkul Mubin memerintah di Bandar Brunei adalah sebenarnya atas suruhan Pengiran Bendahara Muhyiddin yang bertujuan untuk menghuru-harakan Bandar Brunei. Pada mulanya mereka mengaruk lantai istana dan beberapa buah rumah Pembesar Negara, kemudian dilaratkan kepada rumah-rumah orang ramai yang menyebabkan kekacauan berlaku berleluasa.


     Pengisytiharan Pengiran Bendahara Muhyiddin menjadi Sultan di Bandar Brunei itu telah menyebabkan berlakunya perang saudara yang berlanjutan dari tahun 1662 hingga 1673 dengan kekalahan di pihak Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin. Sultan Muhyiddin membuat kubu di Tanjong Kindana semasa memerangi Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin. Baginda juga mendapat bantuan dari tentera Betara Suluk yang membuat kubu pertahanan di Pulau Keingaran. Sebelum kalah, Sultan Abdul Hakkul Mubin telah membinasakan segala harta benda, membakar istana dan merosakkan Mahkota serta cop mohor. Baginda juga memerintahkan supaya Mahkota itu dilemparkan ke laut Pulau Chermin. Akibat daripada peperangan itu semua peninggalan pemerintahan Sultan Abdul Hakkul Mubin di Pulau Chermin musnah sama sekali dan sukar dikesan hingga sekarang.


http://www.pusat-sejarah.gov.bn/aktif-yupai-semaring.htm

1 comment:

Brunei Share : The legends surrounding of Bukit Tempayan Pisang

The legends surrounding Bukit Tempayan Pisang can be promoted to attract tourists. This suggestion was yesterday made by Minister of Hom...