Thursday, 30 June 2011

Jalan-jalan Melancong Brunei, Hotel Murah di Brunei

Destinasi Asia Tenggara seterusnya ke Brunei Darussalam! Sebenarnya hasrat untuk ke Brunei sudah lama bertapak di hati tetapi disebabkan sering dimomokkan yang di Brunei 'tak ada apa-apa', jadi hasrat itu sering terbantut. Namun kesempatan mendapat jemputan dari Kak Su sempena perkahwinan anaknya merealisasikan hasrat saya yang terbantut tu. Betul ke Brunei tak ada apa-apa? Mehla kita tinjau sama-sama.

Sebaik kaki melangkah keluar dari lapangan terbang antarabangsa Brunei, entah kenapa kepala saya teringatkan Langkawi. Hahhaa....Ya, Brunei dalam bahasa Arab membawa maksud tempat tinggal yang aman. Saya dapat rasakan aura ketenangan dan keamanan itu sebaik melangkah keluar dari bangunan itu. Kedua, rakyatnya hidup bersederhana. Walaupun ramai orang Brunei yang kaya-raya, saya dapat rasakan aura itu juga! Itu padandangan awal saya tentang Brunei.

Hari pertama, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Bandar Seri Begawan. Kami sempat meninjau ke Masjid Omar Ali Saifuddien dan Kampong Ayer tetapi tidak sempat bergambar kerana cuaca yang sangat panas petang itu. Kami kemudian ke istana sultan tapi tak nampakpun istananya kerana pagarnya berkilometer dari jalanraya utama....hahaha. Jadilah dapat tengok pagar. Kemudian dibawa melihat istana  Azrinaz yang masih dalam pembikinan. 

Lepas itu kami ke Jerudong Park Brunei. Dulu-dulu masuk ke taman tema ini adalah percuma tetapi kini kena bayar mengikut bilangan permainan yang hendak dimainkan. Ketika kami sampai, taman tema masih lengang. Kata abang yang membawa kami, malam-malam baru meriah. Kami pulang selepas itu lalu ke Pasar Basah Gadong untuk menikmati juadah tradisi masyarakat Brunei.

Hari kedua kami sekali lagi ke masjid dan Kampung Ayer Brunei. Jam sekitar 5.00 petang, kami menaiki teksi dari hotel penginapan Rizqun International. Perjalanan sekitar 15 minit dengan tambang $10.00 sehala. Disebabkan susahnya mencari teksi di Brunei, maka kami telah berjanji dengan pemandu teksi untuk menjemput kembali sekitar jam 7.00 malam. Di sana matawang disebut ringgit juga tetapi nilainya tidak sama. Semasa saya ke sana, tukarannya ialah RM2.55=B$1. Jadi tak bolehlah nak berbelanja mewah-mewah ye. Hehe....

Kami bergambar dan sempat berjalan ke Water Front. Jaraknya lebih kurang 10-15 minit berjalan kaki. Jika anda mahu berjalan-jalan di sekitar Kampong Ayer menaiki bot, harganya lebih kurang $15-30 bergantung kepada tuan punya bot dan durasi perjalanan. Disebabkan saya tidak ada banyak masa (kurang-kurang 1 jam diperlukan untuk menjelajah ke Kampong Ayer), maka saya tidak memilih pakej itu. Saya hanya menyeberang ke Kampong Ayer menaiki bot dan kembali semula. Tambangnya $1. Memang menarik Kampong Ayer ini kerana rumah-rumah dibina di atas air. Mereka punya komuniti sendiri (ada sekolah, masjid etc) yang menarik untuk dilawati jika punya banyak masa.

Antara fakta menarik tentang Brunei yang boleh saya kongsikan di sini :
-Harga petrol adalah sekitar $0.52 sen seliter kerana subsidi dari Sultan dan akan menjadi $1.75 pada Hari Keputeraan Sultan sebagai mengingati betapa mahalnya harga minyak jika tiada subsidi dari Sultan.
-Tukaran wang ringgit Brunei adalah sama dengan Dollar Singapura. Oleh yang demikian, kita boleh guna kedua-dua matawang ini di kedua-dua negara.
-Cukai kenderaan adalah murah. Sebab itu ramai yang berkereta besar. Khabarnya boleh dapat Mercedes  pada harga $50K sahaja!
-Tiada motorsikal di Brunei kerana semua mampu berkereta
-Teksi sangat sedikit (dikatakan sekitar 40 buah sahaja)
-Tiada bangunan tinggi yang boleh mengatasi kubah masjid.
-Tulisan jawi boleh dilihat di merata-rata.
-Coklat murah di sini, lebih murah dari di lapangan terbang di negara kita yang bertanda Duty Free.
-Kain-kain sutera juga murah, jadi sediakan wang secukupnya sebagai tanda mata dari Brunei.
-Jam 6.00 petang, kawasan bandar-bandar sudah sunyi. Shopping mall yang ada yang masih meriah hanya selepas Isyak.
-Ada 3 checkpoint yang disediakan Air Asia Brunei untuk memeriksa berat beg berbanding 2 di LCCT. Hehehe....jadi sila pastikan berat beg yang dibawa masuk ke dalam pesawat tidak lebih dari 7kg!

Jika anda sudah sampai ke serata Asia Tenggara tetapi masih belum sampai ke Brunei, apa salahnya anda mencuba. Jom Melancong!

http://www.lailakamilia.com/2011/06/jalan-jalan-brunei-darussalam.html

1 comment:

Brunei Share : The legends surrounding of Bukit Tempayan Pisang

The legends surrounding Bukit Tempayan Pisang can be promoted to attract tourists. This suggestion was yesterday made by Minister of Hom...